TikTok adalah sebuah aplikasi hiburan berasaskan video yang semakin popular, meskipun tahun lalu aplikasi ini terpalit dengan isu keselamatan negara dan privasi pengguna. Di India misalnya, aplikasi ini disekat dan diharamkan untuk digunakan. Bermaksud, aplikasi ini tiada di dalam gedung aplikasi App Store mahupun Play Store.
Namun begitu, data menunjukkan sebaliknya meskipun pernah dikecam hebat sebagai ‘aplikasi gelek’ dan aplikasi yang tidak selamat kepada privasi pengguna. Di Play Store, aplikasi ini kini menduduki nombor 2 di dalam kategori video. Manakala di App Store, TikTok merangkul tempat pertama di dalam kategori hiburan. Dari segi jumlah muat turun pula, TikTok telah melepasi 1 bilion muat turun pada tahun 2019. Pada tahun 2021 pula, sebanyak 2 bilion muat turun.
TikTok adalah aplikasi yang membolehkan kita untuk menunjukkan bakat, kraf, tutorial membaikpulih barang, mengaji al-Quran, dan sebagainya. Tempoh maksimum video yang dibenarkan untuk dimuatnaik di dalam TikTok adalah selama 3 minit, tidak seperti video di YouTube yang boleh dimuatnaik selama 12 jam.
Namun, dalam tempoh beberapa tahun ini, TikTok tidak menampilkan sebarang perubahan ketara di dalam aplikasi mereka. TikTok perlu menambah beberapa ciri dan fungsi baru untuk kekal relevan, tidak berada di takuk lama, dan supaya pengguna tidak berasa bosan dengan aplikasi yang tiada perubahan.
Ada khabar angin mengatakan TikTok akan membenarkan video lebih panjang untuk dimuatnaik, iaitu dalam tempoh maksimum selama 5 minit. Perkara ini amat bagus untuk perkembangan aplikasi. Pengguna juga mempunyai pilihan untuk memuatnaik video yang lebih panjang. Saluran TikTok yang berteraskan ceramah pasti akan memanfaatkan ciri baru ini.
Satu lagi ciri baru yang dikatakan bakal hadir dalam TikTok adalah TikTok Stories. Ciri ini begitu popular untuk media sosial terkini termasuk Facebook dan Instagram, dan Snapchat. Ciri ini dimulakan di Snapchat, dan mula diikuti oleh Facebook setelah usaha Facebook untuk membeli Snapchat menemui jalan buntu. Ciri stories ini pernah hadir dalam Twitter yang dipanggil ‘Fleet’, namun telah dibuang oleh Twitter atas sebab-sebab tertentu. Ciri ini dikatakan bakal hadir pula untuk pengguna TikTok.