Facebook adalah media sosial yang penuh dengan pelbagai fungsi seperti Groups, Market Place, Pages, Jobs, dan banyak lagi. Maka, tidak hairanlah Facebook merupakan media sosial terbesar di dunia. Bahkan, dia Malaysia juga, Facebook adalah media sosial yang paling aktif digunakan di negara ini. Menurut laman Statista, pada tahun 2019, pengguna Facebook di Malaysia adalah 22.97 juta, berbanding pesaing mereka iaitu Twitter yang hanya mencapai 2.4 juta pengguna pada tahun yang sama.
Facebook juga merupakan pemilik beberapa media sosial lain seperti Instagram dan memiliki juga aplikasi permesejan WhatsApp. WhatsApp telah dibeli oleh Facebook pada tahun 2014 dengan jumlah belian sebanyak $14 bilion. Dengan kata lain, Facebook telah mendominasi data-data pengguna hasil daripada pembelian Instagram dan juga WhatsApp. Oleh itu, segala yang dimiliki oleh Facebook akan mempunyai pautan dan kaitan di antara jenama yang dimiliki oleh mereka.
Terbaru, WhatsApp dikatakan bakal memperkenal fungsi ‘reactions’ yang kini terdapat di Facebook. Fungsi reactions ini hanya terdapat di Facebook sahaja buat masa ini, yang mana media sosial lain hanya merangkumi fungsi share/retweet, dan like/love sahaja. Reactions ini membolehkan pengguna untuk memilih untuk melahirkan perasaan suka, marah, sayang, peluk, sedih, atau ketawa. Fungsi ini dikatakan sedang diuji oleh WhatsApp, dan hanya diberikan pada kelompok pengguna yang kecil sahaja.
Fungsi ini masih dalam ujian, dan tidak dapat dipastikan sama ada fungsi ini 100% sama dengan apa yang terdapat di Facebook, atau terdapat sedikit perubahan. Fungsi ini amat penting untuk menjadikan WhatsApp kekal relevan, kerana sesuatu aplikasi tidak boleh kekal pada takuk lama sekiranya ingin terus digunakan oleh berbilion pengguna.