WhatsApp yang merupakan anak syarikat kepada Meta telah melancarkan fungsi ‘Message Yourself’ yang kedengaran agak pelik. Fungsi ini telahpun dilancarkan secara berperingkat bagi pengguna Android dan iOS, yang mana fungsi ini telah melepasi fasa percubaan (beta) dalam bulan Oktober yang lalu.
Memang kedengaran agak pelik, namun ia dikhususkan bagi pengguna WhatsApp untuk menulis nota-nota penting, pautan laman sesawang, peringatan untuk diri sendiri, dan beberapa kegunaan lain yang berguna untuk diri sendiri. Hal ini sama sekali memungkinkan untuk kita kurang bergantung kepada aplikasi nota yang terdapat di App Store dan Play Store.
Fungsi ini tidak boleh dilihat oleh sesiapa, melainkan diri sendiri dan Tuhan Yang Maha Esa, namun teks-teks dan nota-nota penting ini boleh dilihat sekiranya kita memaparkan nota ini kepada pengguna WhatsApp yang lain.
Jika dilihat pada sudut yang lain, fungsi ini kelihatan ketinggalan kerana Telegram yang merupakan pesaing terdekat WhatsApp sudah pun mempunyai fungsi ini sejak Telegram diperkenal. Fungsi ini hanya hadir pada WhatsApp setelah aplikasi ini dicipta 13 tahun yang lalu.