Windows Phone? Siapa pernah menggunakan fon dengan sistem operasi ini? Windows Phone pernah wujud satu ketika dahulu, namun bukanlah sistem operasi pilihan. Sebaliknya, hanya menjadi pesaing jauh untuk iOS dan Android.
Windows Phone dilihat sebagai ekosistem yang tidak mampu untuk bersaing dengan iOS mahupun Android. Bahkan begitu jauh ketinggalan. Gedung aplikasi Windows — Windows Store sangat kekurangan aplikasi, bahkan pada sekitar 2012, aplikasi Instagram pun masih belum wujud. Maka, pengguna Instagram hanya boleh menggunakan Instagram menggunakan pelayar web. Hanya selepas beberapa tahun, aplikasi Instagram muncul. Itu pun pada peringkat aplikasi Beta (percubaan).
Namun, apa yang menarik tentang antaramuka (user interface) Windows Phone ini adalah sangat unik, yang dipanggil Metro UI. Metro UI ini kelihatan seperti jubin dan tingkap beranimasi yang tidak sama langsung dengan antaramuka iOS dan Android. Hanya ini yang memberikan kelainan pada Windows Phone.
Nokia adalah ‘penggemar’ Windows Phone, sehingga mereka jatuh, rebah, dan tersungkur bersama-sama Windows Phone. Kesilapan Nokia yang terus setia bersama Windows Phone ini menyebabkan jenama legenda ini tersungkur bertahun-tahun dan sukar untuk kembali. Setelah Nokia bangkit semula, barulah mereka beralih kepada Android. Kedegilan mereka enggan untuk berevolusi membuatkan Nokia membayar kerugian yang tidak tertanggung.
Windows Phone versi paling baru, iaitu Windows Phone 8.1 tidak lagi diteruskan dan digantikan dengan Windows 10 Mobile. Pada Disember 2019, Windows mengumumkan untuk tidak lagi meneruskan kemaskini dan projek Windows Phone dan Windows 10 Mobile ini dan menasihatkan pengguna sedia ada untuk beralih kepada Android mahupun iOS.
Setelah Windows Phone berkubur, Bill Gates yang merupakan ‘Bapa Windows’ mengakui Android adalah sistem operasi yang lebih baik berbanding Windows Phone, dan kini beliau juga menggunakan fon Android.