Dynamic Island adalah ciri yang digembar-gemburkan oleh Apple pada pelancaran iPhone 14 Pro yang lalu. Fungsi ini adalah fungsi tambahan pada bahagian dahi fon, memandangkan iPhone 14 Pro tiada lagi takuk seperti iPhone generasi sebelumnya. iPhone 14 dan iPhone 14 Plus tidak mempunyai ciri ini kerana Apple masih lagi mengekalkan rekaan takuk pada iPhone 14 dan iPhone 14 Pro.
Fungsi istimewa Dynamic Island ini bukan sekadar notifikasi biasa, sebaliknya Dynamic Island ini membawa fungsi yang lebih menarik dan interaktif. Sebagai contoh, sekiranya iPhone 14 Pro disambungkan dengan AirPods, Dynamic Island akan memaparkan notifikasi yang lebih interaktif. Begitu juga jika muzik dimainkan, Dynamic Island akan turut memaparkan notifikasi lebih daripada notifikasi biasa yang terdapat pada mana-mana fon lain.
Ciri ini dikatakan begitu ‘hype’, sehingga pembangun aplikasi Android turut membangunkan aplikasi seumpama Dynamic Island ini. Nampaknya Apple benar-benar menjadi ‘trend setter’ bagi fungsi seumpama ini.
Pun begitu, Xiaomi yang diberi jolokan ‘Apple copycat of China’ dijangka bakal meniru fungsi ini. Berdasarkan rekod sebelum ini, Xiaomi begitu gemar meniru iPhone dari segenap sudut baik dari segi rekaan mahupun perisian dalaman. Sebagai contoh, sewaktu iPhone X memperkenal rekaan takuk yang amat besar, Xiaomi Mi 8 juga direka dengan takuk sedemikian rupa. Begitu juga dengan rekaan kamera belakang iPhone X yang ditempatkan menegak, turut ditiru oleh beberapa model Xiaomi seperti Mi 8 dan Mi 9. Perisian dalaman Xiaomi, iaitu MIUI juga dilihat hampir-hampir menyerupai iOS.
Xiaomi baru sahaja melancarkan model terbaharu mereka. iaitu Xiaomi Civi 2. Civi 2 mempunyai rekaan kamera swafoto yang kelihatan seperti rekaan kamera swafoto iPhone 14 Pro. Di sini ada kemungkinan untuk Xiaomi meniru fungsi Dynamic Island yang diperkenal oleh Apple.