XPERT GADGET

Xiaomi Memperkenal Konsep Teknologi Kaca Mata Pintar

Share this :

Xiaomi adalah sebuah syarikat yang sering memperkenal inovasi baru saban tahun. Dalam tempoh beberapa tahun ini, antara teknologi konsep yang telah diperkenal oleh Xiaomi antaranya adalah Xiaomi Mi MIX Alpha, iaitu sebuah telefon pintar berkonsepkan skrin menyeluruh di bahagian depan dan belakang. Fon ini tidak dijual di mana-mana pasaran kerana teknologi konsep sahaja. Sedikit sebanyak menunjukkan Xiaomi obses dengan skrin dan turut menunjukkan syarikat dari China ini berkemampuan untuk bersaing dengan jenama lain.

Awal tahun ini pula, kita dapat melihat konsep teknologi pengecasan tanpa wayar tulen melalui Mi Air Charge. Ada jurutera mengatakan konsep ini bakal gagal atas beberapa sebab yang munasabah. Namun, inilah permulaan kepada konsep teknologi yang bakal hadir bagi tahun-tahun mendatang.

Terbaru, Xiaomi telah memperkenal satu lagi teknologi konsep menerusi kaca mata pintar Xiaomi Smart Glasses. Kaca mata pintar ini dapat memaparkan notifikasi kerana terdapat microLED di dalam kaca mata pintar ini. Kaca mata pintar ini juga dilengkapi dengan kecerdasan buatan yang dipanggil XiaoAI yang bekerja untuk memaparkan notifikasi penting sahaja, agar pengguna tidak rasa terganggu dengan notifikasi pada kaca mata pintar ini.

Kaca mata pintar yang berjisim hanya 51g ini juga boleh digunakan untuk membuat panggilan fon, dan membuat navigasi ke destinasi pengguna. Dengan hanya berjisim 51g, pastinya kaca mata pintar ini tidak mengganggu urusan harian pengguna. Dengan kebolehan untuk navigasi, sekiranya kaca mata pintar ini dijual, penunggang motosikal Food Panda dan GrabFood adalah golongan yang dapat memanfaatkan fungsi navigasi menerusi kaca mata pintar ini.

Selain itu, kaca mata pintar ini turut dimuatkan dengan kamera 5MP. Selain daripada boleh mengambil gambar, kamera 5MP ini juga dilengkapi dengan kecerdasan buatan yang boleh untuk menterjemah tulisan misalnya. Sebagai contoh, tulisan Cina dapat diterjemah kepada tulisan bahasa Inggeris dengan hanya memberikan arahan kepada kaca mata pintar ini menerusi arahan suara. Jelas di sini, kaca mata pintar ini turut dimuatkan dengan mikrofon dan juga pembesar suara.

Namun, teknologi ini kekal konsep buat masa ini. Xiaomi belum lagi berhajat untuk memasarkan produk mereka ini. Walaupun tidak lagi dijual, dapatlah kita fahami teknologi pada hari ini semakin berkembang pesat. Teknologi konsep adalah pemangkin kepada produk akhir yang bakal dijual kepada pengguna.

Share this :

Leave a Comment

Your email address will not be published.