HTC adalah jenama telefon pintar dari Taiwan yang pernah terkenal sekitar lebih 10 tahun lalu. Bahkan, jenama ini lah yang buat pertama kalinya menghasilkan fon Android, malah diberikan kepercayaan oleh Google untuk menghasilkan fon Google Nexus.
Segalanya berjalan dengan baik sehinggalah mereka tersungkur kerana tidak lagi mendapat sambutan dan dilihat seperti hidup segan mati tak mahu dalam industri telefon pintar. Lalu mereka fokus pada perniagaan fon kepala VR yang merupakan perniagaan yang sangat kecil dari segi pengguna dan peminatnya. Hasilnya, kali terakhir HTC menghasilkan fon kelas flagship adalah pada tahun 2018, menerusi HTC U12+.
Tahun ini seperti tahun-tahun yang lalu, HTC masih lagi tidak menghasilkan sebuah peranti flagship. Tahun 2023 sekali lagi menyaksikan HTC sekadar menghasilkan peranti kelas pertengahan-premium. HTC U23 pro baru sahaja dilancarkan dan menerima pelbagai reaksi terutamanya daripada mereka yang sudah meminati jenama ini sekian lamanya.
Antara perkara yang menjadi taruhan fon ini adalah, fon ini sudah dipasangkan dengan aplikasi VIVERSE yang sesuai untuk dipadankan dengan fon kepala VIVE VR Elite yang dijual berasingan.
Fon ini juga dilengkapi dengan ciri-ciri premium seperti storan sebesar 256GB, pengecasan tanpa wayar, pengecasan tanpa wayar berbalik, kalis air dan debu IP67, skrin OLED 120Hz, dan kaca Gorilla Glass Victus. Namun, penggunaan cip pemproses Snapdragon 7 Gen 1 turut menjadi pertikaian, kerana HTC dikatakan sepatutnya menggunakan cip pemproses yang lebih terkini dan lebih berkuasa seperti Snapdragon 7+ Gen 1 ataupun Snapdragon 8+ Gen 1 misalnya. Skrin dengan dagu yang tebal juga turut menjadi persoalan.
Dengan tanda harga setinggi £499 seperti yang diiklankan, nampaknya HTC masih enggan belajar daripada kesilapan lalu. Tanda harga RM2814.08 (jika ditukar langsung kepada Ringgit) adalah terlalu mahal untuk spesifikasi yang ditawarkan, dan jenama ini harus bersaing dengan jenama-jenama dari China yang menawarkan harga yang jauh lebih rendah dengan spesifikasi yang lebih istimewa.