Awal penglibatan Samsung di dalam dunia Android, Samsung menggunakan sistem operasi Samsung TouchWiz buatan mereka yang berasaskan Android. Namun, sistem operasi TouchWiz ini bukanlah satu sistem operasi kegemaran ramai dek kerana sistem ini sangat lembab, tidak responsif, tak stabil, dan mempunyai pengubahsuaian terhadap sistem Android yang melampau, sama sekali membuatkan fon Samsung yang menggunakan sistem operasi TouchWiz ini menjadi sangat berat.
Kemudian, bermula Samsung Galaxy S8 pada tahun 2017, Samsung mula merombak sistem operasi mereka, dan menukar dari TouchWiz kepada Samsung Experience. Sistem operasi lebih baharu ini dilihat lebih ringan berbanding yang sebelumnya, dan kelihatan sedikit lebih cantik berbanding TouchWiz. Dan Samsung Experience ini bukan juga kegemaran peminat-peminat Android.

Kemudian, Samsung merombak lagi sistem operasi mereka daripada Samsung Experience kepada Samsung One UI. One UI ini kelihatan lebih matang, sangat stabil, ringan, mesra pengguna, dan cantik dipandang mata. Antara fon terawal yang menggunakan sistem operasi One UI ini adalah Samsung Galaxy S10. Kemudian, One UI terus digunakan untuk fon-fon kelas permulaan, kelas pertengahan, dan kelas flagship. Rata-rata respon pengguna One UI adalah positif dan mendapat pujian daripada pengguna.
Kini, One UI versi terbaru yang dilancarkan secara rasmi adalah One UI 3.1, yang digunakan pada siri Samsung Galaxy S21. One UI 4.0 beta yang berasaskan Android 12 bakal dilancarkan tidak lama lagi. Siri Samsung Galaxy S21 adalah fon yang dibolehkan untuk mencuba One UI siri ujian ini. One UI beta ini bakal dilepaskan kepada pengguna terpilih yang mendaftar, pada September ini. Namun, tiada tarikh khusus tentang perlepasan perisian ini.
Buat masa ini, One UI 4.0 versi beta atau percubaan ini berkemungkinan besar hanya dilepaskan di Korea Selatan pada peringkat awal. Kemudian akan dilepaskan untuk pengguna-pengguna di seluruh dunia. Versi beta adalah versi percubaan yang boleh dicuba oleh para sukarelawan. Dalam tempoh percubaan ini, pengguna bakal menemui pelbagai pepijat (bugs) dan ketidakstabilan, dan perkara ini boleh dilaporkan kepada Samsung secara langsung. Program beta amat penting untuk mendapat respon pengguna, supaya produk akhir One UI 4.0 adalah produk yang stabil dan mesra pengguna.