Beberapa hari lalu, Xiaomi telah melancarkan satu lagi keluarga peranti flagship, Xiaomi 12s dan Xiaomi 12s Ultra, setelah jenama dari China ini melancarkan Xiaomi 12 dan Xiaomi 12 Pro yang juga merupakan peranti flagship yang dilancarkan awal tahun ini. Xiaomi 12 Pro pun sudah cukup padu dan berkuasa, apatah lagi Xiaomi 12s Ultra yang dilihat hampir lengkap dan sempurna bagi sebuah telefon pintar.
Inilah kali pertama Xiaomi bekerjasama dengan Leica, setelah Huawei mengumumkan mereka tidak lagi menyambung kontrak kerjasama dengan Leica yang merupakan pakar pengimejan dari Jerman itu. Xiaomi 12s dan Xiaomi 12s Ultra dimuatkan dengan kamera yang ditala oleh Leica. Kita pun tahu, kamera yang ditala oleh Leica bukanlah satu gimik pemasaran. Gambar hasil kamera Huawei Mate 30 Pro misalnya amatlah cantik dan mempunyai tona warna yang menawan. Maka, Xiaomi 12s yang dipasangkan dengan sensor kamera sebesar 1″ dan ditala pula dengan Leica pasti akan membawa satu anjakan dan keistimewaan luar biasa dalam dunia fotografi telefon mudah alih.
Xiaomi juga amat jarang sekali menghasilkan fon dengan kalis air. Xiaomi 12 Pro misalnya masih tidak dilengkapi dengan ketahanan kalis air dan debu meskipun fon ini dikelaskan dalam kelas flagship. Sebaliknya, Xiaomi 12s Ultra diperakui dengan ketahanan kalis air dan debu IP68 yang mampu bertahan di dalam air sedalam 1.5 meter selama 30 minit.
Selain itu, Xiaomi 12s Ultra juga mempunyai pembesar suara stereo yang ditalakan oleh Harman/Kardon. Pembesar suara yang lantang dan diperkaya pasti akan menjadi satu tambah nilai buat Xiaomi 12s Ultra.
Fon yang padu tidak akan lengkap sekiranya bateri di dalamnya berkapasiti kecil. Oleh itu, Xiaomi 12s Ultra dimuatkan dengan bateri sebesar 4860mAh dan dipadankan dengan teknologi pengecasan pantas Mi Turbo Charge 67W. Meskipun tidak mencapai pengecasan 120W seperti Xiaomi 12 Pro, 67W sudah memadai untuk memenuhkan bateri fon ini dalam 41 minit sahaja.
Dengan kamera 1″ Leica yang padu, pembesar suara stereo Harman/Kardon, kalis air dan debu IP68, skrin AMOLED 120Hz, bateri yang besar, Xiaomi 12s Ultra dilihat sebagai fon yang hampir sempurna buat tahun 2022. Tidak dapat dipastikan sama ada fon ini akan dijual di Malaysia atau sebaliknya.