Leica adalah jenama kamera yang terkenal dalam kalangan jurugambar profesional. Jenama ini berasal dari Wetzlar, Jerman yang diasakan oleh Ernst Leitz pada tahun 1869. Nama Leica ini diilhamkan oleh nama beliau sendiri, iaitu LEItz CAmera. Jenama ini bukan sahaja membikin kamera, malah turut menghasilkan juga produk-produk berasaskan teropong raifal, binokular, lens, dan sebagainya.
Jenama ini tidaklah begitu popular dalam kalangan pengguna kamera biasa. Namun dipopularkan oleh Huawei pada tahun 2016 menerusi pelancaran Huawei P9 dan Huawei P9 Plus. Dari sinilah bermula kerjasama Leica dengan jenama fon yang melonjakkan nama Huawei dan juga Leica.
Kemudian, pada tahun 2021 pula, Leica mengumumkan kerjasama dengan Sharp pula, yang merupakan syarikat produk elektrik-elektronik keluaran Jepun. Sharp Aquos R6 adalah fon pertama daripada Sharp yang menggunakan penjenamaan dan penalaan Leica untuk kamera fon ini. Lebih istimewa, sensor yang digunakan pada Sharp Aquos R6 ini bersaiz sebesar 1-inci, yang tidak ada pada mana-mana fon lain.
Terkini, Xiaomi pula mengumumkan kerjasama jangka panjang dengan Leica. Sama sekali menamatkan desas-desus berita ini yang berlegar beberapa bulan sebelum ini. Kamera yang dihasilkan tanpa penjenamaan apa-apa jenama kamera pun sudah cukup mantap bagi Xiaomi, apatah lagi jika kamera fon flagship Xiaomi seterusnya mendapat penalaan daripada Leica.
Namun, terdapat kemungkinan untuk fon Xiaomi yang menggunakan penjenamaan Leica ini untuk mengalami penokokan harga. Perkara ini seharusnya dijangka dan tidak boleh ‘buat-buat terkejut’, kerana setiap penjenamaan dan penalaan daripada pakar pengimejan seperti Leica tidak boleh didapatkan secara percuma.